Posted by: pendetagempita | December 17, 2013

Hikmah kembara: Antara Ayasofya, Seri Menanti dan KLCC

Bijak pandai berkata, coretan kembara biarlah melahirkan rasa, dan mencetuskan idea, bukan semata-mata menjamu mata, atau merehat minda. Kunjungan ke Istanbul kali ini, walau digigit bayu dingin yang menghembus dari Bosphorus, masih ada renungannya.

Arkitektur yang diadun dari pelbagai budaya, sering menimbulkan tanda tanya tentang kehebatan tamadun manusia dan pengisiannya. Dahulunya, arkitektur hebat banyak disemadikan kepada bangunan-bangunan agama, seperti gereja, masjid, biara, dan juga bangunan pentadbiran seperti istana, kem tentera dan pusat pentadbiran.

Image

Tidak hairanlah mengapa Ayasofya pernah menjadi Gereja terbesar di dunia, dan kemudiannya menjadi Masjid terindah binaannya. Begitu juga Topkapi Palace dan Dolmahbace yang pernah didiami kerabat Sultan-Sultan Uthmaniyah yang sangat menakjubkan hias dan rias dalamnya.

 

Hari ini, kehebatan arkitektur diabadikan kepada bangunan-bangunan pencakar langit, yang kebanyakannya menjadi ruang membeli belah, hotel atau kantor perniagaan korporat. KLCC misalnya yang merupakan pejabat Petronas yang diselitkan dengan gedung membeli belah bernilai tinggi, bukanlah sebuah rumah agama atau pejabat pentadbiran. Begitu juga Burj Al-Khalifah di Dubai, Aspire Tower di Doha, Shanghai Tower di Shanghai dan tidak dilupakan Abraj Al-Bait Tower (Mecca Royal Hotel Clock Tower) bersebelahan Masjidil Haram, semuanya adalah gedung membeli belah dan hotel bertaraf berbintang-bintang. Mungkinkah hakikat ini berlaku kerana ketaksuban manusia yang mula beralih dari mengukuhkan pegangan agama dan kekuatan pentadbiran, kepada kestabilan ekonomi dan kemegahan semata-mata. Mujurlah projek pembesaran Masjidil Haram yang sedang berlaku masih boleh dibanggakan sebagai satu iltizam menaik taraf rumah agama.

Image

 

100 tahun akan datang, atau mungkin lebih singkat, anak-anak manusia mungkin sudah tidak kenal sejarah kerana bangunan yang dilawati mereka untuk projek sejarah dan rombongan cuti sekolah adalah gedung membeli belah. Dan ketika itu mungkin, anak Melayu sudah tidak kenal apa itu Istana Seri Menanti, A Famosa, Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah dan Istana Negara. Candi Lembah Bujang juga rupanya ada yang masih tidak ketahuinya. 

Posted by: pendetagempita | December 16, 2013

Bertafakur dihalaman Dolmahbace

Kembara ke kota antara 2 benua memang mengasyikkan. Dicelah kerinduan kepada sejarah, dan kekaguman kepada tamadun yang pernah memerintah dan menyerah, aku temui satu noktah. Rakusnya kapitalis sentiasa menggadai maruah, negara, cinta, dan darah. Negara yang rukun dalam pasrah kepada Yang Disembah, diserah begitu mudah kepada kolonial yang dahagakan darah, rempah, dan tanah. Satu persatu kegemilangan itu dicarik dan dirobek. Penguasa yang sering bangun disepertiga malam mengadap Rabnya, berganti penguasa yang masih belum tidur disepertiga malam meratah wanita. Islam kembali dagang akhirnya.  

Posted by: pendetagempita | December 16, 2013

Menongkah tembok persepsi

Manusia yang sering mencipta mimpi, dan melakar fantasi, dari fakta dan cereka yang kurang pasti, akhirnya membentuk persepsi. Atas nama kreativiti dan hasad dengki, persepsi menjadi bukti, bukti tidak perlu lagi. Marilah sama-sama menongkah persepsi dengan kembali kepada suruhan Al-Quran supaya “tabayyun” dalam gerak geri dan berita sensasi

Saya diberi kesempatan oleh Allah mengunjungi tanah suci Mekah dan Madinah pada permulaan Ramadhan tahun ini. Seperti sesiapa sahaja, runtunan hati untuk menghirup ketenangan Masjidil Haram sambil memanjat doa kepada Allah adalah idaman yang melebihi segalanya. Namun kembara kali ini ternyata berbeza.

Sebelum melangkah menuju Haramain, saya pasakkan cita-cita untuk melakukan ibadah sesempurna mungkin, sejajar jalur sunnah yang ditunjuk Rasulullah s.a.w. Saya ingin beribadah sebebas-bebasnya tanpa terikat kepada amalan-amalan “rigid” dan sempit yang tidak datang dari “manasik” Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah, Allah perkenankan permintaan itu, dan ditambah pula dengan beberapa tinjauan yang tercetus di minda, yang sebelum ini tidak saya peduli.
lembaran lanjut…

“Debat Sinar” adalah satu usaha yang sangat baik untuk merintis jalan kepada politik matang. Keberanian untuk bersemuka secara langsung, dan berhujah secara separa-spontan adalah sesuatu yang tidak semua politikus miliki, tidak kira pemimpin akar umbi mahupun pemimpin tertinggi. Keberanian itu walau apa cara harus diberi pengiktirafan, kerana kebanyakan politikus takut menikus bila dicabar.

Khairy Jamaluddin (“KJ”) dikatakan pendebat paling berbisa daripada UMNO, juga yang paling pintar. Sudah tentu graduan Oxford sedikit sebanyak ada “genius”nya. Namun lawannya, diatas kertas, jauh lebih bergaya. Rafizi Ramli telah dikenali ramai sebagai seorang pendebat yang unggul ketika bersekolah di MCKK. Bahkan, beliau merupakan “cream of the cream” kerana muncul pelajar terbaik MCKK keseluruhannya. Dan denai pendidikan beliau yang berwarna emas terus dilalui sehingga ke alam pekerjaan dan politik.

Kedua-duanya muda dan lantang. Kedua-duanya pantang dicabar. Namun Debat Sinar telah merungkai siapa yang lebih padan untuk jadi ikon belia hari ini.

Sebelum debat bermula, penulis memahat harap dalam dada agar debat ini penuh dengan fakta yang relevan, dan jawapan kepada kritikan dengan berkesan dan tajam. Rafizi diharap dapat menjelaskan polisi “utopia” yang dicadangkan, dan KJ diharap dapat memberi alternatif kepada cadangan tersebut.

lembaran lanjut…

Posted by: pendetagempita | August 8, 2008

Tindakan balas selalunya menyakitkan semua

Apabila Menara WTC di tengah kotaraya New York dibedil oleh rempuhan 2 kapalterbang yang dikemudikan oleh pejuang berani mati, ramai penganalisa politik dunia beranggapan ia adalah satu tindakan balas (retaliation measure) keatas kekejaman dan cengkaman dasar politik Washington. Amerika Syarikat sememangnya sudah sinonim sebelum itu dengan dasar berat sebelah dan pro-Israel yang menyaksikan lebih daripada 300 resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk mengecam tindakan Israel terkandas oleh veto daripada Amerika Syarikat. Umum melihat serangan WTC yang kononnya didalangi oleh Rangkaian Al-Qaeda pimpinan Osama Bin Laden sebagai langkah tindakbalas kepada Amerika Syarikat mewakili kepentingan umat Islam sedunia yang tertindas dan disepikan.

Apa jua lembaran alasan yang dihujahkan dalam Laporan Akhir Suruhanjaya 9-11 hanya mengesahkan satu fakta, iaitu tindakbalas tersebut menyakitkan semua. Ia sudah tentu menyakitkan Washington kerana jutaan dolar perlu dihabiskan untuk program pembinaan semula Ground Zero, dan juga program anti-keganasan ala-Amerika. Ia juga menyakitkan dunia Islam apabila momokan Islamophobia semakin menggila sehingga dunia barat betah mencincang fahaman Islam, Al-Quran dan Nabi Muhammad tanpa segan silu. Ia juga menyakitkan negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan yang dilabel “rumah Pengganas” sehingga Kerajaan Baghdad tumpas dengan berakhirnya nyawa Saddam Hussein di tali gantung, ehsan drama Mahkamah ciptaan Amerika. Ia juga menyakitkan golongan pro-demokrasi dan pro-keamanan dipelusuk dunia sehingga tercetusnya demonstrasi jalanan anti-Amerika dan anti-Bush hatta di hadapan Rumah Putih sekalipun. Hakikatnya tiada siapa beroleh manfaat. Yang ada hanyalah nyawa dan harta benda yang melayang begitu sahaja. Jika dikira korban jiwa sepanjang kempen keganasan Amerika pra dan pasca November 9, jumlahnya hampir mencecah 620,000 orang (angka kematian dalam serangan WTC, perang di Iraq dan Afghanistan – berdasarkan kajian oleh John Hopkins Bloomberg School of Public Heatlh) iaitu satu jumlah yang amat menggerunkan, dan terbesar sejak korban Krisis Rwanda dan Burundi sekitar tahun-tahun 90-an.

lembaran lanjut…

Posted by: pendetagempita | August 8, 2008

Nemo judex in causa sua

Sewaktu Razali (nama sebenar) berada diusia kanak-kanak, Razali seringkali bergaduh (baca: buli) dengan adik lelakinya yang umurnya 4 tahun lebih muda daripadanya. Apabila bergaduh, adiknya seringkali mengadu kepada ibu dan berkata “Ibu, tengoklah abang ni, dia buat adik”. Sejurus selepas aduan tersebut, maka betis dan juga punggung Razali akan berbirat dihinggap oleh hayunan rotan kecil atau kepala talipinggang. Selalunya Razali yang kena. Tidak kira sama ada Razali yang memulakan pergaduhan atau adiknya yang cuba menyiram minyak keatas api. Prinsip ibu Razali mudah, kalau bergaduh, ia tentu salah Razali, dan bukan adik Razali kerana Razali adalah yang tua, yang seharusnya mengalah.

Sudah semestinya Razali sentiasa tidak berpuas hati. Acapkali juga Razali mempertikaikan tindakan ibu, dengan menghukum tanpa usul periksa, dan yang lebih mengecewakan tanpa memberikan peluang untuk didengar. Kalau adapun penjelasan daripada Razali yang didengar, ia hanya semata-mata didengar tanpa ada apa-apa tindakbalas susulan. Pendek kata, salah siapa sekalipun, Razali tetap dipukul.

lembaran lanjut…

Posted by: pendetagempita | July 29, 2008

SERANGAN PERIBADI: JANGGUT SIAPA LEBIH KEMAS???

NOTA: ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR SUARA KEADILAN TERBITAN 23 JULAI 2008
Komen pasca Debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Shaberi Cheek yang dipertontonkan oleh media amat memualkan dan meloyakan. Sedar atau tidak, media pro-Kerajaan telah memainkan gendang propaganda dengan memfokukan berita tentang Debat tersebut dari perspektif keterbukaan Kerajaan dalam membenarkan ia dilakukan. Namun, hakikat dan intipati Debat yang jelas menyaksikan Shaberi dibelasah hidup-hidup oleh Anwar (walaupun pada pandangan saya dalam keadaan kurang persediaan) tidak langsung disentuh oleh media. Benar, Kerajaan telah membuka kotak pendora kebebasan bersuara dengan bersetuju untuk duduk dalam satu majlis dan berdebat secara terbuka dihadapan seluruh rakyat Malaysia, tetapi persoalan yang timbul apakah intipati dan perjalanan Debat tersebut ikhlas dan jujur untuk mencari kebenaran atau hanya bermatlamatkan propaganda murahan semata-mata.

Saya kurang pasti matlamat sebenar Shaberi menerima pelawaan Agenda Daily untuk Debat tersebut, sama ada beliau memang benar ikhlas ingin menyorot denai kebenaran tentang isu, atau ingin menjadikan platform peribadi pra Pemilihan UMNO (yang tidak membenarkan ahli berkempen) ataupun diperkudakan oleh sesetengah pihak untuk kononnya menelanjangkan Anwar dipentas? Apa yang pasti, Shaberi ternyata gagal memenuhi mana-mana matlamat tersebut.

lembaran lanjut…

Posted by: pendetagempita | July 16, 2008

Anwar lawan Shaberi: Antara retorik dan persepsi

Saya menantikan Debat yang telah direncanakan oleh Agenda Daily dengan sabar dan tekun. Bagi saya, inilah peluang dan ketikanya untuk menyaksikan tokoh pidato terkemuka negara Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beraksi secara langsung dalam acara berbentuk debat atau bahas. Ini juga peluang untuk menyaksikan seorang tokoh pimpinan kabinet muda Barisan Nasional menyampaikan aspirasi Kerajaan. Apakah seorang pak menteri dapat merungkai dengan bijak persoalan yang sentiasa bermain diminda rakyat marhaen, iaitu benarkah Anwar tidak akan dapat menurunkan harga minyak?.

Dengan dipengerusikan oleh Dato’ Johan Jaafar, yang saya masih kurang pasti sama ada beliau adalah pihak yang bebas atau tidak, dan disaksikan lebih 200 orang di Dewan Bahasa dan Pustaka, Debat yang bermula tepat jam 9.00 dimulakan oleh Anwar.

lembaran lanjut…

Posted by: pendetagempita | July 8, 2008

Sumpah semerah padi

Kisah pergolakan di tanah semerah padi yang dijadikan fiksyen layar perak dalam sekitar tahun 1981 mungkin boleh dijadikan panduan. Adi Putra yang tinggi penghayatan agamanya boleh terpesong apabila akal tidak disuluh dengan jiwa dan hati yang tulus ikhlas. Setelah berjaya menawan semula Semerah Padi daripada pengganas yang telah membunuh ayahnya Demang Satria, Adi Putra memerintah Semerah Padi dengan hukum Islam. Tapi sayang, dek kerana hasutan dan adu domba, Adi Putra menghukum adiknya sendiri Kesumawati atas tuduhan zina dengan kekasihnya, yang merupakan kawan karib Adi Putra iaitu Andika. Setelah Kesumawati dan Andika yang tidak bersalah tersebut disebat hingga longlai, balasan tuhan tiba apabila bumi menelan Adi Putra yang menghukum mengikut akal.

 

Hmmm, Itulah sumpah Semerah Padi yang memakan diri tuannya. Bagaimana pula Sumpah Malaysia. Agaknya siapakah Adi Putra, siapakah Andika dalam kes Malaysia. Anwar Ibrahim (melalui Balasubramaniam) menuduh Najib berzina dengan Altantuya, Najib pula (melalui Saiful Bukhari) menuduh Anwar meliwat. Siapa yang benar, siapa yang salah masih jadi tanda tanya. Hari ini, Saiful (mangsa liwat) pula mencabar Anwar untuk bersumpah secara mubahalah, menambah tekanan kepada Anwar untuk bersumpah sepertimana dicadangkan Mufti Perlis Al-Asriyah. Najib, Saiful dan Rosmah pula bagaimana? Beranikah mereka bersumpah. 

  lembaran lanjut

Older Posts »

Categories