Hikmah kembara: Antara Ayasofya, Seri Menanti dan KLCC

Bijak pandai berkata, coretan kembara biarlah melahirkan rasa, dan mencetuskan idea, bukan semata-mata menjamu mata, atau merehat minda. Kunjungan ke Istanbul kali ini, walau digigit bayu dingin yang menghembus dari Bosphorus, masih ada renungannya.

Arkitektur yang diadun dari pelbagai budaya, sering menimbulkan tanda tanya tentang kehebatan tamadun manusia dan pengisiannya. Dahulunya, arkitektur hebat banyak disemadikan kepada bangunan-bangunan agama, seperti gereja, masjid, biara, dan juga bangunan pentadbiran seperti istana, kem tentera dan pusat pentadbiran.

Image

Tidak hairanlah mengapa Ayasofya pernah menjadi Gereja terbesar di dunia, dan kemudiannya menjadi Masjid terindah binaannya. Begitu juga Topkapi Palace dan Dolmahbace yang pernah didiami kerabat Sultan-Sultan Uthmaniyah yang sangat menakjubkan hias dan rias dalamnya.

 

Hari ini, kehebatan arkitektur diabadikan kepada bangunan-bangunan pencakar langit, yang kebanyakannya menjadi ruang membeli belah, hotel atau kantor perniagaan korporat. KLCC misalnya yang merupakan pejabat Petronas yang diselitkan dengan gedung membeli belah bernilai tinggi, bukanlah sebuah rumah agama atau pejabat pentadbiran. Begitu juga Burj Al-Khalifah di Dubai, Aspire Tower di Doha, Shanghai Tower di Shanghai dan tidak dilupakan Abraj Al-Bait Tower (Mecca Royal Hotel Clock Tower) bersebelahan Masjidil Haram, semuanya adalah gedung membeli belah dan hotel bertaraf berbintang-bintang. Mungkinkah hakikat ini berlaku kerana ketaksuban manusia yang mula beralih dari mengukuhkan pegangan agama dan kekuatan pentadbiran, kepada kestabilan ekonomi dan kemegahan semata-mata. Mujurlah projek pembesaran Masjidil Haram yang sedang berlaku masih boleh dibanggakan sebagai satu iltizam menaik taraf rumah agama.

Image

 

100 tahun akan datang, atau mungkin lebih singkat, anak-anak manusia mungkin sudah tidak kenal sejarah kerana bangunan yang dilawati mereka untuk projek sejarah dan rombongan cuti sekolah adalah gedung membeli belah. Dan ketika itu mungkin, anak Melayu sudah tidak kenal apa itu Istana Seri Menanti, A Famosa, Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah dan Istana Negara. Candi Lembah Bujang juga rupanya ada yang masih tidak ketahuinya. 

Leave a comment